Tempatan

Ramai pelajar minta maaf – Cikgu Mustakim

Kuala Lumpur: “Selepas tular baru-baru ini, ramai pelajar menghubungi saya memohon maaf dan berjanji hadir ke kelas saya pada masa akan datang,” kata guru Mata Pelajaran Vokasinal (MPV) Seni Reka Tanda, Mustakim Bajoori.

Mustakim, 56, berkata, dia akui pembelajaran secara dalam talian sukar dilaksanakan kerana rangkaian Internet di kawasan kampung tidak begitu baik.

“Banyak kekangan dihadapi pelajar seperti tidak mampu membeli data dan terpaksa berkongsi telefon pintar bersama adik-beradik,” katanya yang tinggal di Tanjung Karang, Selangor.

Menurutnya, bagi membantu, dia menghantar modul pembelajaran kepada pelajar dengan cara meninggalkannya di pondok sekolah untuk dikutip.

“Saya ada juga rasa kecewa kerana terdapat ibu bapa kurang prihatin dengan pembelajaran anak-anak terutama ketika terpaksa menggunakan cara dalam talian,” katanya.

Sebelum ini kekecewaan Mustakim tular selepas anaknya, Nur Nuha Narisya berkongsi tangkap layar kelas dalam talian bapanya yang tidak disertai pelajar.

Nur Nuha berkata, bapanya sangat teruja untuk mengadakan kelas dalam talian dan belajar cara mengadakan kelas menerusi aplikasi Zoom dan Google Meet.

Mustakim menunggu selama 30 minit selain menghubungi semua pelajarnya supaya menyertai kelas dalam talian namun mereka memberi pelbagai alasan sedangkan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Bagi mengubat kekecewaan dan menghiburkan bapanya, Nur Nuha mendaftar masuk ke kelas dalam talian itu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah, ada beberapa elemen yang harus diambil perhatian.

“Antaranya ialah sikap dan komitmen guru dan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran, kerjasama ibu bapa, pemilikan peranti dan akses Internet.

“Guru tidak hanya menggunakan kaedah secara dalam talian saja, kerana ada pelajar tidak mempunyai kemudahan peranti dan Internet.

“Jika ada yang tidak berkemampuan, guru juga boleh menggunakan model pembelajaran bercetak atau e-modul yang dimuat turun lebih awal,” katanya.

Aminuddin berkata, beliau tidak menafikan ada sesetengah pelajar tidak mahu menyertai kelas atas talian.

Katanya, ibu bapa diminta sentiasa berhubung dengan guru bagi mendapatkan khidmat nasihat sekiranya ada permasalahan berkaitan dengan kelas atas talian.

“Sebelum penutupan sekolah dijalankan, banyak sekolah mengadakan taklimat untuk memberi penerangan kepada ibu bapa mengenai kelas dalam talian sewaktu pandemik Covid-19.

“Justeru, kita menyeru kepada pihak kerajaan bagi mempelbagaikan inisiatif pemilikan peranti dan capaian Internet kepada golongan B40 agar masalah pembelajaran atas talian dapat dikurangkan,” katanya.

 

Sumber Harian Metro Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *