Kartel Daging ! Penguat Kuasa Korup Guna Kod Rahsia ‘Daging Karpet Merah’

SHAH ALAM – Rampasan 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta dibungkus semula dengan kotak berlogo halal palsu di Senai, Johor baru-baru ini mempunyai bukti kukuh bahawa kegiatan kartel dibantu anggota penguat kuasa termasuk kakitangan awam yang korup.

Ia terbukti apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor sudahpun membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging sejuk beku secara tidak sah di negeri itu.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesemua pihak dimohon tampil memberikan maklumat.

Untuk makluman pembaca Sinar Harian, sejak hari pertama serbuan bersepadu oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di gudang kartel berkenaan, SPRM sudah pun menghantar pasukannya ke sana.

Pihak JAINJ melihat label logo halal yang dicetak di gudang kartel daging sejuk beku di Senai, Johor baru-baru ini.
Tindakan itu diambil kerana terlalu banyak persoalan timbul mengenai bagaimanakah daging-daging h4ram tersebut yang dibawa dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dengan mudah membolosi pintu masuk utama sempadan negara.

Menurut sumber, kebarangkalian berlakunya korupsi dalam kalangan pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawal pintu masuk negara apabila bersekongkol dengan kartel untuk melepaskan daging-daging h4ram itu tanpa mengikut peraturan ketika pemeriksaan adalah amat tinggi.

Bagi kes penyeludupan daging sejuk beku berkenaan, ia diistilahkan sebagai ‘daging karpet merah, merujuk kepada daging atau barangan seludup yang sengaja dilepaskan masuk ke negara kerana penguat kuasa mahupun penjawat awam yang bertanggungjawab sudah dikawal oleh kartel-kartel terbabit.

Difahamkan, aktiviti penyeludupan daging karpet merah bukanlah isu baharu, tapi sudah lama berlaku dan pegawai atau anggota yang menjaga talian hayat kartel itu akan mendapat upah berlipat kali ganda khususnya yang bertugas di pelabuhan utama negara.

Berkenaan dengan kaedah penyeludupan di pintu masuk negara, kartel begitu arif dengan operasi pelabuhan termasuk aktiviti penugasan anggota penguat kuasa bagi melepasi kawalan pemeriksaan dibantu oleh ‘orang dalam’.

“Kartel ini cukup licik memalsukan dokumen atau borang K8 iaitu kebenaran untuk transit barangan dagangan dari satu zon bebas ke zon bebas yang lain melalui kawasan utama kastam dan borang K1, pengisytiharan dagangan import yang dibawa keluar dari zon bebas ke kawasan utama kastam.

“Malah perancangan rapi diatur termasuk kontena membawa barang seludup itu akan melalui laluan ‘VIP’ bagi melepasi pemeriksaan seterusnya bayaran secara tunai dibuat kepada kakitangan yang bertugas di situ,” kata sumber itu.

Sogokan lumayan

Sogokan menerusi pemberian wang tunai, percutian ke luar negara menjadi hadiah kepada penguat kuasa dengan syarat barangan diimport yang melanggar peraturan boleh lepas masuk seterusnya boleh diedarkan ke pasaran tempatan.

Bagi kes di Johor, syarikat terbabit masih disiasat kerana setakat ini jelas ia menggunakan sebuah syarikat pengimport buah-buahan tetapi menggunakan beberapa nama syarikat tempatan sebagai proksi untuk mengimport daging sejuk beku secara tidak sah.

Hasil siasatan turut mendapati syarikat-syarikat proksi menggunakan nama syarikat milik bumiputera bagi mengaburi mata pihak berkuasa, malah nama pemilik juga dipalsukan.

Apa yang berlaku, kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan pengimportan bahan itu.

Menurut sumber lagi, tindakan mewujudkan syarikat proksi bertujuan meyakinkan pemborong termasuk pasar raya besar bahawa produk daging sejuk beku yang mereka bekalkan adalah daripada sumber halal sekali gus meyakinkan pengguna beragama Islam.

“Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati, harga murah mendorong kartel menyeludup daging sejuk beku yang diragui status halal demi keuntungan besar,” katanya.

Menurut sumber Maqis, beberapa prosedur operasi standard (SOP) perlu dilalui syarikat pengimport sebelum produk khususnya yang berasaskan pertanian dan makanan dibawa ke negara ini.

Antaranya produk terbabit perlu direkodkan dalam borang pengakuan barang-barang diimport, selain perlu ada permit import, sijil kesihatan, sijil halal, sijil negara asal, invois, bill of landing serta senarai pembungkusan.

Susunan kotak -kotak yang mengandungi daging yang diragui diperiksa oleh pihak Jabatan Kemajuan Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di gudang kartel daging sejuk beku di Senai, Johor.
Meskipun ia sudah diluluskan pada tahap itu, barangan terbabit masih perlu diperiksa secara fizikal termasuk maklumat komoditi, suhu, rumah sembelih, tarikh luput, keadaan fizikal barangan.

Apapun akhbar ini selaku media pertama yang mendedahkan kegiatan haram itu, melakukan siasatan dan follow-up seterusnya membawa kepada hasil serbuan di Senai, Johor pada 1 Disember lalu.

Diharapkan pihak berkuasa khususnya Maqis, kastam, KPDNHEP, Jakim serta Jabatan Agama Islam negeri untuk terus berganding bahu memastikan kartel seludup daging sejuk beku terus dikekang.

Kerja keras SPRM ditagih bagi menyiasat dan mengheret pengkhianat negara yang menjadi duri dalam daging ke muka pengadilan.

Sumber Sinar Harian

Apa Pendapat Anda?

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment on "Kartel Daging ! Penguat Kuasa Korup Guna Kod Rahsia ‘Daging Karpet Merah’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*