EBIT LIEW Bagaikan Adiwira Hulur Bantuan Di Kala Perlu Dan Tak Kira Bangsa “Kontroversi, Air Mata Sulami Perjuangan Sepanjang PKP 2020″…

SEBUT sahaja nama Ustaz Ebit Lew, boleh dikatakan hampir seluruh rakyat Malaysia mengenali pendakwah popular itu.

Bukan sahaja orang Melayu, bahkan kaum Cina, India dan apa jua etnik yang ada bagaikan terpaku dengan segala jasa bakti yang dihulurkan buat insan memerlukan di negara ini.

Jika disoroti, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau tidak putus-putus membuat kerja kebajikan, lebih-lebih lagi selepas ramai rakyat di negara ini terkesan dek Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Menerusi laporan mStar bertarikh 30 Mac misalnya, Ebit membeli barang keperluan secara borong menggunakan lori 10 tan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan selepas hampir dua minggu PKP dilaksanakan.

Dugaan disebalik perjuangan Ebit

Pada bulan berikutnya, timbul kontroversi apabila Ebit dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman selepas ada pihak membuat laporan, mempertikaikan khidmat bantuannya yang tular di media sosial.

Susulan itu juga, Ebit pada 24 April berkongsi luahan rasa yang cukup mengejutkan ramai, mengumumkan untuk tidak lagi keluar memberi bantuan sepanjang tempoh PKP.

“Tadi menangis saya beri keterangan kepada beberapa pegawai sebab penat kot. Serius penat sangat. Saya tak salahkan sesiapa. Saya bukan ahli politik, saya bukan sesiapa cuma Cina Islam yang sayangkan Islam dan Malaysia.

Ebit tak terlepas diuji tatkala sibuk membantu golongan susah di negara ini.

“Saya minta maaf kepada semua ye. Atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat pada semua secara langsung. Saya cuma akan transfer duit kepada orang susah, ” luahnya.

Namun tidak lama kemudian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengumumkan tiada kertas siasatan dibuka terhadap terhadap Ebit dan dia diberi kebenaran oleh pihak polis untuk memberi sumbangan keperluan terutama makanan kepada golongan tidak berkemampuan sewaktu PKP.

Biarpun sedih atas apa yang berlaku, dugaan itu bagaimanapun langsung tidak mematahkan semangat Ebit untuk meneruskan usaha murninya.

Malah, dia juga ada menghantar bantuan barangan perubatan serta set kelengkapan pelindungan diri (PPE) menggunakan pesawat buat petugas barisan hadapan ke Sabah.

Tidak terkecuali, timbul isu apabila tindakan Ebit menyediakan 20 bas percuma untuk membantu pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pulang ke kampung halaman menimbulkan rasa kurang enak pengurusan tertinggi insitusi itu sehingga dia membuat permohonan maaf secara terbuka.

Krisis air di Selangor turut mendapat perhatian Ebit.

Malah, ia menyebabkan kata kunci Ebit Lew dan UPSI tersenarai sebagai topik trending di Twitter pada 4 Oktober lalu.

Selain isu Covid-19 dan PKP, Ebit terus menjuarai hati masyarakat apabila sanggup membeli dua lori tangki air untuk membantu rakyat Selangor yang mengalami gangguan bekalan air, juga pada Oktober lalu.

Bantuan yang dihulurkan tatkala rakyat negeri itu berada dalam penguatkuasaan PKP Bersyarat (PKPB) turut menjulang nama Ebit sehingga dia digelar adiwira oleh netizen di media sosial.

Antara kisah pilu yang turut meraih perhatian ramai tentunya apabila Ebit membantu sebuah keluarga India yang tinggal dalam kereta selama lapan bulan.

Derita pasangan suami isteri dan tiga anak itu berakhir apabila Ebit kini menyewakan sebuah rumah untuk mereka.

Pembukaan pasar raya terlajak murah!

Antara yang turut mencuri tumpuan pada tahun ini tentunya apabila pendakwah itu mengumumkan pembukaan rangkaian pasar raya miliknya secara berperingkat-peringkat bermula Julai lalu.

Pembukaan beberapa cawangan pasaraya oleh Ebit turut menerima pujian ramai kerana harga barangan ditawarkan cukup murah.

Lebih mengejutkan, dia turut mengumumkan harga barangan keperluan yang disifatkan tidak masuk akal demi membantu mereka yang memerlukan.

Antara yang menjadi perbualan pada waktu itu termasuklah harga kicap jenama popular yang dijual pada harga 90 sen dan susu pekat manis serta mi segera pada harga kurang RM1.

Turut mendapat liputan mStar tentunya kisah Ebit yang mengumumkan khidmat ambulans percuma untuk golongan memerlukan, juga pada bulan sama.

Dalam pada itu, aksi Ebit yang berbasikal pada waktu malam di ibu negara untuk menyantuni gelandangan dalam tempoh PKP turut menerima pujian ramai.

Dari ibu negara ke Kelantan, Ebit turut meneruskan bantuan kemanusiaannya sehinggalah ke negeri di utara serta Sabah.

Pengiktirafan atas jasa dan sumbangan

Selain pujian, ucapan terima kasih serta kiriman doa netizen atas segala jasanya, Ebit turut menerima Anugerah Khas Hari Belia Negara 2020 pada Ogos lalu.

Ia disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Sambutan Hari Belia Negara 2020 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) di Johor Bahru.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah kepada Ebit.

Bagai menutup tirai 2020, Ebit turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wira AME2020 sempena Anugerah Khas MeleTOP ERA 2020 pada 20 Disember lalu.

Pastinya pengiktirafan itu tidak menjadi titik noktah, sebaliknya membakar semangat juang dalam diri pendakwah itu untuk meneruskan usaha murninya pada masa akan datang.

Populariti figura itu juga tidak perlu dipertikaikan lagi apabila dia mengumpul lebih 4 juta pengikut di Facebook dan 4 juta di Instagram.

Paling penting, jadikan segala apa yang dipamerkan Ebit sepanjang tahun penuh getir ini sebagai inspirasi agar kita menjadi insan lebih baik pada tahun mendatang. Terima kasih Ebit Lew!

Sumber : MStar

Apa Pendapat Anda?

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment on "EBIT LIEW Bagaikan Adiwira Hulur Bantuan Di Kala Perlu Dan Tak Kira Bangsa “Kontroversi, Air Mata Sulami Perjuangan Sepanjang PKP 2020″…"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*