Artis Viral

Elizabeth Tan Cabar Diri Naik Motosikal Berkuasa Tinggi – “Bayangkan dua jam atas motor rasa tak selesa”

AKSI menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam filem 10 Tips Tipu Bini merupakan pengalaman paling mencabar buat penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan.

Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy memberitahu dia bukanlah seorang peminat sukan permotoran, justeru itu tawaran tersebut merupakan peluang keemasan untuk dia mempelbagaikan karakter dalam dunia lakonan.

“Sejujurnya cerita ini sangat lawak, cabaran berlakon dalam filem ini tak banyak tapi takut-takut juga nak naik motor besar tu… bayangkan hampir dua jam atas motor rasa tak berapa nak selesa, lebih-lebih lagi naik motor besar, memang agak mencabar.

“Apa-apa pun pengalaman ini sangat menarik… antara yang saya tak boleh lupa menjalani penggambaran di jambatan Pulau Pinang bersama kumpulan motosikal Harley Davidson. Kita tunggang motosikal ramai-ramai rasa macam riders pula, pengalaman yang sangat menarik.

“Sepanjang penggambaran tak susah berlakon dengan pelawak, memang satu set asyik gelak… terpaksa shoot semula tapi seronok berkerja dengan mereka kerana semuanya happy sahaja!” katanya kepada mStar.

Elizabeth Tan seronok berlakon bersama pelawak dalam filem 10 Tips Tipu Bini.

Lizzy ditemui ketika majlis pelancaran filem 10 Tips Tipu Bini yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Lizzy, filem komedi arahan Azizi Chunk Adnan itu dibintangi oleh Datuk Awie, Khir Rahman, Ropie, Joey Daud, Jehan Miskin, Vicha dan Nasir Bilal Khan.

“Saya lebih utamakan tawaran lakonan, tahun ini banyak tawaran yang mengisi jadual antaranya membintangi drama bersiri!”

ELIZABETH TAN

PELAKON & PENYANYI

Filem pertama terbitan produksi milik Awie iaitu Rumah Produksi Merah mengisahkan tiga sahabat baik yang takut dengan isteri masing-masing itu boleh ditonton di Astro First bermula Khamis ini.

Bercakap mengenai karier seni, penyanyi lagu Semua Sudah ini berkata dia lebih memberi keutamaan terhadap bidang lakonan berbanding nyanyian.

Barisan pelakon filem 10 Tips Tipu Bini.

Katanya pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal 2020 tidak menghalangnya menerima pelbagai tawaran lakonan yang akan memulakan penggambaran pada tahun ini.

“2021 baru sahaja bermula tapi dah banyak tawaran yang mengisi jadual antaranya membintangi drama bersiri. Single baharu saya berjudul Beku juga akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Sekarang ini saya lebih utamakan pada lakonan… kebiasaannya berlakon ini mengambil masa lama, kalau ada waktu terluang barulah kita keluarkan satu dua lagu.

“Tahun 2020 lalu memang tak ada langsung lagu baharu sebab pandemik Covid-19, rasa tak syok nak buat lagu baharu dan saya rasa bukan waktu sesuai,” ujarnya.

 

Sumber : MStar

 

Apa Pendapat Anda? Sesungguhnya ET dapat memukau Min…hehehehe

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *