
CUACA cerah mengiringi majlis pengebumian pelawak terkenal era 80an, Datuk Jamali Shadat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah.
Jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 3.50 petang, Rabu selepas dimandi dan disolatkan di rumah anak keenamnya, Fauzi Jamali, 49.
Antara yang hadir mengiringi perjalanan terakhir Jamali ialah keluarga terdekat termasuk anak-anak serta cucu-cucunya.
Jenazah Jamali disolatkan di rumah anaknya, Fauzi Jamali.
Menurut Fauzi, kesihatan arwah bapanya mula merosot sejak tiga minggu lalu.
“Dia tak ada sebarang penyakit kronik. Cuma sejak arwah ibu meninggal dia mula mendiamkan diri.
“Tiga minggu lepas kesihatan dia mula merosot, selera makan pun juga menurun.
“Sebelum ini dia masih boleh duduk,” katanya ketika ditemui mStar.
Ditanya apakah pesanan ketika hayat arwah yang masih diingatinya, Fauzi berkata bapanya sering mengingatkan agar sentiasa menjaga nama baik keluarga.
“Dia pesan jaga diri, jaga keluarga serta jangan tinggal solat.
“Dia juga pesan kena rajin kerja dan jangan malukan keluarga,” katanya.
Terdahulu Jamali yang terkenal menerusi watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ meninggal dunia kira-kira pukul 8.15 pagi akibat sakit tua.
Seniman kelahiran Bukit Kapar, Klang itu mula uzur sejak kematian isteri, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018.
Allahyarham Jamali mempunyai lapan anak dan 39 cucu.
Jamali Shadat meninggal dunia… tiada lagi keletah ‘Atan’
PELAWAK ‘stand up’ komedi popular, Datuk Jamali Shadat, 79, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada pukul 8.15 pagi Rabu.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Fauzi Jamali, 49, ketika dihubungi mStar sebentar tadi.
Menurut Fauzi dia menyedari pemergian bapanya selepas isterinya, Siti Zabedah Sood, 38, mahu mengejutkan bapanya untuk makan sarapan.
“Saya menyedari mengenai kematian dia bila isteri saya mahu mengejutkan ayah untuk makan sarapan tapi bila dia tak sedarkan diri terus saya hubungi klinik berdekatan.
“Doktor kemudian mengesahkan ayah sudah meninggal dunia pukul 8.15 pagi tadi,” katanya kepada mStar.
Fauzi turut mengatakan Allahyarham bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma selera makannya berkurangan pada malam Selasa.
“Ayah tiada apa-apa perubahan cuma semalam bila isteri saya suapkan makanan, dia hanya makan tiga empat sudu sahaja, kalau tidak sebelum ini dia berselera makan macam biasa,” katanya.
Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Ar-Rahman, Pulau Indah.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, selepas solat Zohor.
Jamali yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang meninggalkan lapan anak dan 39 cucu.
Di zaman kegemilangannya pada tahun 1980-an, pelawak ini cukup dikenali dengan kebolehannya melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan bersama datuknya
Sumber : MStar
Leave a Reply