Rezeki Pakcik Buah Kerana Wanita Hamil Mengidam Berakhir Drama Air Mata Di Stesen Minyak

WANITA hamil tak akan lari dengan perbuatan mengidam dan ini adalah perkara normal bagi mereka.

Namun siapa sangka, keinginan seorang wanita yang sarat mengandung untuk menikmati buah-buahan potong mempertemukannya dengan seorang pakcik penjual buah di sebuah stesen minyak.

Menerusi video yang tular di media sosial, dapat dilihat pasangan suami isteri itu memborong kesemua buah potong yang dijual oleh pakcik tersebut.

Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan, Nur Alina Farahin Mohd Shahrin memberitahu, kejadian berlaku pada petang Khamis, namun dia hanya berkongsi mengenai perkara itu di laman sosial sehari kemudian.

Warga emas menangis terharu.

Wanita berusia 30 tahun itu berkata, ketika itu dia dan keluarganya baru bertolak dari rumah ibu mentuanya yang terletak di Masjid Tanah di Alor Gajah, Melaka ke rumah mereka di Kuala Lumpur.

“Saya hamil dah lapan bulan, insyaAllah dijangka bersalin pada 1 April depan. Anak pula nak makan ais krim, jadi kami singgah sebentar di stesen minyak.

“Memang saya berharap sangat ada jual buah potong kat situ. Tak sangka pula ada seorang pakcik jual guna motosikal di stesen minyak,” katanya ketika dihubungi.

Lebih mesra disapa Alina, dia bagaimanapun sebak melihat kegigihan lelaki warga emas yang berusia lingkungan 60-an itu berniaga, sekitar pukul 6 petang.

Suami Alina menyumbangkan sekampit beras kepada Pakcik Zaini.

“Hati saya ni jadi sebak. Saya ni tak boleh tengok orang-orang tua, akan terbayangkan ayah saya yang juga berusia 60-an kat rumah.

“Terharu pakcik tu masih ada tenaga untuk mencari rezeki yang halal. Tapi saya terfikir, pukul berapalah pakcik ni akan berniaga untuk habiskan kesemua buah potong tu.

“Buah potong ni tak boleh simpan lama-lama. Saya dan suami buat keputusan untuk borong kesemua baki kira-kira 30 bungkusan plastik buah potong yang pakcik tu ada,” tambahnya.

“Rezeki yang kita ada, bukan semua milik kita. Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.”

NUR ALINA FARAHIN MOHD SHAHRIN

Menurut ibu kepada dua anak dan bakal menimang cahaya mata ketiga itu, bungkusan buah potong yang mengandungi lima jenis buah termasuk jambu air, tembikai dan jambu batu itu kemudian disedekahkan kepada orang ramai yang lalu di stesen minyak di Masjid Tanah.

“Bukan setakat orang yang lalu-lalang, kami juga berikan kepada pekerja stesen minyak. Saya juga dapat satu plastik buah potong sebab mengidam, syukur dapat juga merasa.

“Pakcik tu menangis, terharu sangat sebab kesemua buah potong dia habis terjual. Saya pun menangis juga, tapi ditahan dulu tak nak menangis depan dia… tengok pakcik ni memang teringat ayah saya di rumah,” ujarnya yang berasal dari ibu negara.

Pakcik Zaini turut menerima sumbangan lain berupa barang keperluan.

Selain itu, Alina berkata, dia turut menyumbangkan sedikit wang tunai dan barang-barang keperluan untuk penjual berkenaan yang dipanggil Pakcik Zaini.

“Secara kebetulan, memang barang-barang keperluan seperti beras, gula, minyak, sardin, tin sardin, telur dan teh selalu disimpan di but kereta kami.

“Kalau terjumpa anak yatim atau orang susah, saya akan bagi sumbangan berupa duit mahupun barang-barang keperluan. Rezeki pakcik tu sebab kesemua barang tu ada di but kereta,” katanya sambil menambah, difahamkan warga emas itu menetap bersama isterinya yang merupakan suri rumah di Lubok Cina, Alor Gajah dan mempunyai dua anak.

Susulan perkongsian video tersebut menjadi tular, Alina yang bekerja sendiri mendapat permintaan daripada segelintir pihak yang mahu memberikan sumbangan kepada lelaki berkenaan.

Tambah Alina, hasil sumbangan itu diserahkan kepada lelaki tersebut pada Sabtu melalui kakitangan di stesen minyak di lokasi pertemuan mereka pada Khamis lalu.

“Rezeki yang kita ada, bukan semua milik kita. Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Jangan takut memberi, lagi kita memberi lagi banyak kita dapat.

“Satu kita bagi 10 Allah gantikan, ini prinsip yang saya selalu pegang. Hari ini kita sedekah RM100, Allah bagi saya balik RM1,000. Tak mampu bagi banyak, bagi RM1 pun dah cukup buatkan mereka gembira,” katanya.

Pakcik Zaini (kanan) menerima sumbangan daripada orang ramai menerusi kakitangan stesen minyak.

Sementara itu, di ruangan komen posting Alina di Facebook, seorang individu yang dikenali sebagai Nurul Amiera Zaini dipercayai salah seorang anak kepada penjual buah potong itu tampil memberikan penjelasan bahawa mereka masih mengambil berat terhadap ibu dan bapa mereka.

“Kami adik beradik jauh. Saya di KL dan adik saya di Pulau Pinang, jadi sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ni dah lama tak balik Melaka. Kali terakhir jumpa tahun lepas masa kerajaan umum boleh rentas negeri.

“Dah berapa bulan tak jumpa ayah saya tapi saya selalu video call, telefon dan WhatsApp tanya khabar. Kami adik-beradik tak bagi ayah kerja sebab faktor usia dan kesihatan.

“Tapi ayah masih berkeras nak berkerja sebab katanya bosan duduk rumah dengan meniaga walaupun tiap bulan bagi duit belanja tapi kehendak ayah untuk isi masa lapang.

“Kami anak-anak sentiasa ambil berat pasal ayah dan selalu nasihat supaya jangan kerja tapi kehendak dia sebab dari muda dah biasa kerja dan tak tahu duduk diam. Apa pun terima kasih atas doa kalian semua untuk kesihatan ayah saya dan didoakan kalian dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat,” katanya

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Alina Farahin (@nuralinafarahin)

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Sumber : MStar

Apa Pendapat Anda?

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment on "Rezeki Pakcik Buah Kerana Wanita Hamil Mengidam Berakhir Drama Air Mata Di Stesen Minyak"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*