
Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian melarikan dan mengurung peniaga telefon bimbit, Muhammad Amirul Shafiq, 25 di Melaka.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek yang ditahan terdiri lelaki berusia 21 tahun bekerja sebagai juruteknik, penganggur berusia 37 tahun dan pemandu E-hailing di sekitar Melaka jam 11 malam tadi.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan direman enam hari bermula hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.”
“Polis juga ingin merakam terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Mokhsein berkata, tangkapan itu susulan laporan polis dibuat lelaki berusia 23 tahun memaklumkan mangsa keluar menghantar tiga telefon bimbit kepada suspek di sebuah plaza di Sungai Besi 5 petang 6 Mac lalu.
“Pembeli bersetuju membeli telefon bimbit dengan harga RM17,000 namun pengadu berasa khuatir apabila mangsa masih tidak pulang sehingga lewat malam.
“Susulan itu, dia bersama bapa mangsa mencari di kawasan tempat pencarian tetapi hanya menemui motosikal sahaja,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan sepanjang lima hari dikurung di dalam sebuah rumah di Ayer Keroh, Melaka, Muhammad Amirul hanya beberapa kali sahaja makan nasi dan biskut malah kadangkala tidak diberi makan.
Misteri Pemuda Hilang Selama 5 Hari Selepas COD iPhone Lebih RM17,000 Dijumpai! “Apa yang berlaku seperti mimpi”
MISTERI kehilangan seorang pemuda, Muhammad Amirul Shafiq Sudirman sejak lima hari lalu akhirnya terjawab apabila dia diselamatkan pasukan polis selepas dikurung di sebuah rumah di Ayer Keroh, Melaka.
Amirul, 25, dilaporkan hilang tanpa khabar berita sejak 6 Mac lalu sewaktu membuat penghantaran tiga unit telefon pintar Apple iPhone 12 berharga lebih RM17,000 di premis perniagaan di Sungai Besi.
Kelibatnya kali terakhir dilihat pada pukul 7.30 malam hari kejadian, di Plaza 831, Sungai Besi Dalam, Kuala Lumpur.
Berita mengenai kehilangannya mendapat liputan meluas selepas ahli keluarga serta rakan-rakannya membuat hebahan di media sosial.
Malah, mStar pada Rabu lalu turut menemubual adik Amirul, Myra Sudirman, susulan kehilangan pemuda berkenaan.
Ketika dihubungi pada Jumaat, Myra meluahkan rasa syukur dan lega kerana abang kandung kesayangannya yang dipanggil Abang Yu akhirnya kembali semula ke pangkuan keluarga.
Myra memuat naik perkembangan mengenai penemuan abangnya di laman sosial Instagram.
“Saya dapat tahu mengenai berita Abang Yu ditemui selepas dihubungi ayah tengah malam tadi. Bila ayah call dan beritahu berita tu memang rasa terkejut sangat-sangat. Mulut tak henti-henti mengucapkan syukur kepada Allah.
“Memang menangis bila dapat khabar gembira daripada ayah. Malah mama yang saban hari termenung mengenangkan keadaan Abang Yu pun turut sama menangis. Kami berpelukan dan saling menangis,” cerita wanita berusia 22 tahun itu.
Menurut Myra, dia dan ibunya sudah bertemu dengan Amirul pagi tadi sebelum lelaki itu pulang untuk berehat di rumah bapa kandung mereka.
“Sebaik sahaja jumpa dia, saya terus pegang tangan dan peluk dia. Nampak semangatnya masih kuat walaupun fizikalnya kelihatan lemah sedikit. Abang juga kelihatan macam terkejut.
“Saya masih belum bertanya abang dengan lebih lanjut kerana mahu dia tenangkan fikiran dan berehat terlebih dahulu. Cuma dia ada beritahu, dia rasa apa yang berlaku ini seperti mimpi. Dia kata apa yang dia buat adalah tetapkan keyakinan yang ‘penderitaannya’ akan berakhir.
“Sekarang ni bersyukur sangat lihat keadaan mama. Apabila melihat mama peluk Abang Yu pagi tadi, saya turut sebak.”
MYRA SUDIRMAN
ADIK
“Itu saja yang buat dia kuat… dia tak putus berharap dan dia optimis dapat keluar juga. Alhamdulillah, berkat doa dan usaha yang dilakukan seperti solat hajat, akhirnya Allah makbulkan doa kami untuk Abang Yu ditemui,” katanya.
Menurut Myra lagi, dia gembira apabila melihat perubahan ibunya kini yang sudah mulai tersenyum dan sedikit ceria, berbeza dengan keadaannya beberapa hari lalu.
“Sebelum ini hari-hari tanya pasal Abang Yu. Bukan apa, kami bimbang dengan keadaan kesihatannya yang ada kencing manis dan darah tinggi. Selalu kalau dia risau, saya dan bapa tiri yang akan menenangkannya.
“Sekarang ni bersyukur sangat lihat keadaan mama. Apabila melihat mama peluk Abang Yu pagi tadi, saya turut sebak,” katanya lagi.
Myra membuat hebahan mengenai kehilangan abangnya beberapa hari lalu bagi memohon bantuan orang ramai.
Sementara itu, memetik portal Harian Metro, Amirul diperangkap oleh pelanggan yang berpura-pura mahu membeli telefon pintar berkenaan.
Menurut Amirul yang dipetik sebagai berkata, setibanya dia di lokasi yang dijanjikan, pelanggan tersebut mengajaknya masuk ke dalam kereta untuk menyerahkan wang namun dia kemudian disembur ubat nyamuk dan ditumbuk, sebelum dikurung di sebuah rumah Ayer Keroh.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon yang dipetik portal itu, mengesahkan mangsa sudah diselamatkan dan akan memberi kenyataan media berhubung kejayaan itu.
Sumber : Mstar
Apa Pendapat Anda?
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Leave a Reply