Uncategorized

Kisah2 Hitam Bermulanya Sebagai “Sugar B$BY”

Kuala Lumpur: “Saya masih ingat pada satu malam pada 2017. Malam yang begitu malang untuk saya. Malam itu, sugar daddy (SD) saya cuba menodai kehormatan saya. Hanya tuhan yang tahu betapa ngerinya pengalaman dilalui malam itu. Saya demam dua minggu dan sepanjang masa menggigil ketakutan.”

Demikian pendedahan Ika (bukan nama sebenar) ketika menceritakan detik hitam kepada Bernama, yang membuatkan beliau terus bertaubat tidak mahu menjadi sugar baby (SB) seumur hidupnya lagi. Dihimpit perasaan kesal, beliau bertekad tidak akan lagi berpatah balik ke lembah maksiat itu.

Ketika dihubungi baru-baru ini, Ika yang berasal dari Perak turut menyatakan antara sebab lain beliau kembali bertaubat adalah rasa insaf bahawa matlamat tetap tidak menghalalkan cara.

Apatah lagi dengan menjual maruah diri dan bergelumang dengan dosa semata-mata kerana mengejar wang ringgit serta mahu hidup mewah.

Gambar – worldofbuzz.com

Kepayahan hidup mendorong Ika untuk menjadi SB. Beliau mula terbabit dalam sebagai SB sejak dari tahun kedua pengajiannya di sebuah universiti swasta di Lembah Klang.

Ika berkata, dia terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja bukan sahaja untuk menampung keperluan pembelajarannya, tetapi untuk adik-adiknya yang bersekolah di kampung.

“Ayah sudah meninggal sementara emak hanya melakukan kerja kampung. Pada awalnya saya hanya jadiĀ escort girl. Saya diupah jadi peneman kepada golongan elit yang kaya-raya.

“Dari situ, barulah mula terjebak sebagai SB. Pendapatan bulanan memang agak lumayan sehingga saya mampu beli komputer riba berharga lebih RM4,000 serta dua telefon pintar.

“Namun sebenarnya bukanlah duit menjadi faktor utama saya terjebak, tetapi lebih disebabkan kesempitan hidup. Saya tidak mahu menyusahkan emak. Mujur pada akhirnya saya sempat bertaubat dan ingin perbaiki diri,” kata Ika.

Seorang lagi SB, Nad (bukan nama sebenar) mengakui terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu selama enam bulan sekitar 2018 dek termakan pujukan rakan-rakannya yang juga SB.

“Pada mulanya saya buat sekadar menambah pendapatan, tapi lama-lama seronok sebab bukan selalu dapat duit banyak dengan hadiah.

“Ya, saya akui duit faktor utama. Pendapatan bulanan memang banyak dengan purata mencecah RM10,000. Mana nak dapat duit banyak begitu, lagi pula masa tu saya masih belajar.

“Namun akhirnya saya nekad berhenti daripada terus menjadi SB. Emak saya antara insan yang sentiasa memberi sokongan dan memahami situasi saya kerana kami sekeluarga bukan orang senang, dapat pula yuran universiti mahal. Sejujurnya saya rasa amat menyesal sebab dah malukan mak ayah sendiri,” katanya.

Nasihat Nad kepada mereka yang mungkin mahu menjadi SB atau masih SB adalah: “Jangan hanya kerana wang, kita sanggup gadaikan maruah diri. Mungkin niat kita menjadi SB kerana tidak mahu menyusahkan keluarga tapi keberkatan itu penting.

“Apa kita buat sekarang menjadikan kita akan datang. Biar kita susah jangan jual maruah diri.”

Mungkin tidak semua orang tahu dan faham apakah itu dimaksudkan SB dan SD serta apa pula isu terkini terkait dengannya?

Menerusi penelitian dan kajian penulis di laman sesawang Sugarbook, definisi SB adalah “seseorang individu (lelaki atau wanita) yang biasanya meminta bimbingan, sokongan kewangan dan persahabatan daripada SD atau sugar mummy (SM) mereka di bawah syarat perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak.”

Menurut laman web itu, SB adalah mereka yang sanggup menukarkan penemanan, persahabatan dan seks untuk wang, hadiah dan pemanjaan daripada lelaki tua kaya.

Manakala SD didefinisikan sebagai “lelaki yang ada sumber sokongan kewangan yang kukuh, dan menerusi sumber kewangannya haruslah cukup untuk memanjakan SB yang dipilihnya.”

Apa yang menyayat hati kita ialah fakta Sugarbook menyatakan ia mempunyai lebih 400,000 keahlian di Malaysia. Seramai 220,000 daripadanya SB, 180,000 SD dan 6,000 SM. Kebanyakan SB dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Mujur laporan berita terkini menyatakan laman sesawang itu tidak lagi boleh diakses.

Ini kemungkinan berlaku selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima desakan pelbagai pihak khususnya daripada pelbagai persatuan pelajar di universiti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyekat laman sesawang berkenaan.

Tambahan lagi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat sebelum ini turut dilaporkan berkata, pengasas laman web Sugarbook ditahan dan kesnya akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta mengikut Seksyen 372(1)(d) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Berita penahanan pengasas aplikasi tidak bermoral ini pastinya membuka mata ramai pihak bahawa ada isu lebih besar untuk diberi fokus dan diselesaikan, iaitu mengapa ramai anak muda khususnya yang berada di menara gading terlibat dengan aktiviti tidak bermaruah ini.

Bukan itu sahaja, pelbagai pihak turut melobi pihak kerajaan agar bertindak segera dalam menangani isu kebejatan moral ini. Bahkan golongan mufti lantang bersuara meminta disegerakan penghapusan aplikasi dan aktiviti yang merosakkan anak muda khususnya bangsa Melayu.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan perlu tegas dengan cara laman sesawang janji temu membabitkan salah laku moral.

Menurut beliau, laman sesawang itu haruslah segera disekat dan diharamkan terus memandangkan tiada keperluan untuk ia wujud di Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan capaian Internet dikawal bagi memastikan laman sesawang yang mempromosikan salah laku moral dapat disekat daripada merosakkan generasi muda.

Yahya turut menasihatkan penuntut universiti supaya hidup dengan bersederhana ketika menuntut ilmu, tambahan pula matlamat sebenar belajar adalah menjadi orang yang berilmu dan berjaya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dilaporkan berkata, sikap ambil ringan dan tidak serius terhadap hukum Islam menjadi punca kepada golongan berkenaan terjebak dalam kancah tidak bermoral itu.

“Kepada golongan SD, tunjukkanlah contoh baik kepada anak muda dan carilah jalan penyelesaian untuk menyelamatkan rumah tangga dan bukan mencari SB untuk melempiaskan nafsu dan keseronokan semata-mata.

“Bagi anak muda yang terbabit sebagai SB pula, jangan cari kemewahan dengan jalan singkat dan ukurlah baju di badan sendiri,” nasihatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *