Luar Negara Viral

Bantuan Kecemasan Untuk Palestin, 17 NGO Sasar Kumpul RM10 Juta Untuk Al-Aqsa

Kumpulan Mempertahankan Al-Aqsa Malaysia atau MyAqsaDefenders menyasarkan kutipan sumbangan kecemasan sebanyak RM10 juta untuk disalurkan ke Palestin ekoran isu krisis kemanusiaan yang terjadi baru-baru ini.

MyAqsaDefenders yang juga merupakan gabungan 17 badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan memaklumkan, bantuan tersebut akan dibahagikan melalui bantuan kecemasan, bantuan jangka masa sederhana dan bantuan jangka masa panjang di mana sejumlah RM2 juta telah berjaya dikumpulkan setakat ini.

“Daripada jumlah tersebut, dana sebanyak RM1 juta telah pun disalurkan bagi memenuhi keperluan membaik pulih Klinik Al-Aqsa yang terjejas di samping memastikan stok ubat dan juga keperluan rawatan kecemasan sentiasa tersedia termasuk alatan seperti ventilator bergerak.

“Sebahagian daripada juga telah dimanfaatkan untuk bantuan kewangan segera kepada muratibin Al-Quds, bayaran kos guaman mereka yang telah ditangkap sama ada dalam insiden Al-Aqsa atau Perkampungan Syeikh Al-Jarrah, serta kafalah sara hidup penduduk Kota Lama Al-Quds,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, RM1 juta seterusnya pula turut telah diperuntukkan bagi bantuan membaik pulih infrastruktur dan juga rumah penduduk di Kota Lama Al-Quds dalam usaha memastikan mereka dapat terus bertahan dan mengekalkan demografi rakyat Palestin di kawasan tersebut.

Jelas MyAqsaDefenders, pertambahan jumlah bantuan akan seiring dengan jumlah sumbangan yang diterima dari semasa ke semasa, selain pelan perancangan strategik jangka masa panjang seperti pembangunan kekuatan ekonomi, wakaf dan juga pendidikan akan turut diberikan perhatian.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia dengan kepelbagaian latar agama dan kaum untuk bersuara serta menyokong perjuangan Palestin dalam menuntut dan mempertahankan hak mereka.

“Justeru itu kami mengalu-alukan penglibatan dan sokongan mana-mana institusi, badan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh berpengaruh dan para selebriti untuk bersama menanam tekad mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan Kota Al-Quds,” jelasnya

Gabungan MyAqsaDefenders dianggotai 17 NGO iaitu Cinta Gaza Malaysia (CGM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, MAPIM Malaysia, Malaysia For Syria (MFS), Iman Care, Pertubuhan Wilayah Ummah Malaysia (One Nation), Azhar Care, Pertubuhan Dana Kita, Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Cinta Syria Malaysia (CSM), MyFundAction, Philandure, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Warga Cakna dan Cakna Palestin.

Dalam masa sama, gabungan tersebut turut disertai beberapa selebriti tanah air dan ‘influencer‘ seperti pasangan penyanyi adik-beradik, Helize Helmi dan Hazwana Helmi; pasangan selebriti, MizzNina dan Noh Salleh (MinQalby Foundation); penyanyi isu-isu kemanusiaan, Faizal Tahir (IamFaithMen); badan dakwah, Info Taqwa Malaysia; pengacara terkenal, Fedtri Yahya; pendakwah program realiti Imam Muda, IM Fakhrul dan pengacara, Dahlia Syazwan.

Sumbangan kecemasan boleh disalurkan terus kepada mana-mana NGO yang tersenarai di atas. Orang awam juga boleh menyalurkan sumbangan kepada MVM melalui kempen Emergency Appeal For Palestine 2021 di pautan www.donation.mvm.org.my atau hubungi wakil MVM di talian 012-2356854.

Sumber : MyAqsaDefenders

Apa Pendapat Anda?

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *