
Polis menahan empat pelajar sekolah yang dipercayai terbabit dalam kes membaling mercun ke arah polis di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, semua suspek berusia 14 hingga 16 tahun itu ditahan dalam serbuan di pangsapuri berkenaan bermula 10 malam hingga 3 pagi tadi.
“Soal siasat dilakukan terhadap keempat-empat suspek berkenaan yang mengaku mereka terbabit dalam kejadian itu, dengan ada di antaranya menyalakan dan membaling mercun bola ke arah anggota polis.
“Mereka (suspek) mengaku berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis menghentikan ‘keseronokan’ mereka bermain mercun di kawasan berkenaan,” katanya dipetik Harian Metro ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Beh berkata, empat pelajar itu direman tiga hari sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, polis perlu mengambil tindakan tegas kerana kejadian seumpama itu boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai atau kebakaran, jika tidak ditangani.
Media sebelum ini melaporkan sepasukan anggota polis dilontar mercun ketika cuba menyuraikan kira-kira 200 penduduk yang berkumpul di tempat letak kereta Pangsapuri Sri Perak dan membakar mercun secara terbuka pada tengah malam Khamis lalu.
Orang ramai tidak mengendahkan amaran polis untuk berhenti bermain mercun dan ketika polis menyuraikan orang ramai, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir terkena anggota polis di lokasi kejadian.
Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 44 dan 58 tahun, serta dua remaja berusia 12 dan 13 tahun di pangsapuri itu untuk membantu siasatan.
Dalam perkembangan lain, Beh berkata, pihaknya belum mengenal pasti identiti mayat wanita bogel yang terapung di Sungai Batu 3, Jalan Ipoh, semalam.
“Bagaimanapun, kami ada menerima laporan berkaitan orang hilang membabitkan seorang wanita berusia 30 tahun di Balai Polis Kepong pada 11 Mei lalu.
“Berdasarkan keadaan fizikal mayat berkenaan, kami mendapati ada sedikit persamaan mangsa dengan individu hilang terbabit, namun masih menunggu pengesahan identiti mangsa menerusi cap jari daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
“Pada masa sama, proses bedah siasat mayat mangsa masih berjalan di Institut Perubatan Forensik Negara. Setakat ini, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. | FMT
Apa Pendapat Anda?
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Leave a Reply