
Kuala Lumpur: Pengacara dan selebriti kontroversi, Azwan Ali meminta kerajaan bertindak tegas memenjarakan Neelofa atas kesalahan berulang kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk memerangi Covid-19.
Ia berikutan tular di media sosial video selebriti popular itu meraikan Aidilfitri bersama keluarganya biarpun mereka tinggal berasingan.
Azwan berkata, dia lantang mengecam Neelofa atas tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.
“Ini bukan soal selebriti tegur sesama selebriti. Jangan tanya apa dosa Neelofa kepada saya. Tanya dia, apa yang dia buat Diva AA (Azwan) marahkan dia sangat?
“Dia antara selebriti yang sering dikecam teruk oleh Diva AA. Tanya pada dia, apa dosanya yang saya dendam sampai mati? Itu persoalan yang perlu, dia jawab.
“Kecaman yang berlaku sekarang bukan kerana soal selebriti. Ini soal undang-undang, soal negara yang bermaruah,” katanya kepada Harian Metro.
Azwan juga beranggapan kerajaan bertindak pilih kasih dalam menjatuhkan hukuman terhadap rakyatnya.
“Orang ini boleh dan orang itu tak boleh. Undang-undang apa namanya? Saya antara rakyat yang akan habis-habisan bercakap berkenaan undang-undang.
“Kalau Diva AA (saya) buat salah, laju sahaja masing-masing menggelupur buat laporan polis, suruh tangkap saya dan masukkan dalam penjara. Esoknya, terus naik turun mahkamah.
“Kenapa apabila Neelofa, diabaikan begitu saja. Apa hebatnya dia? Apa sumbangan dia pada negara dari segi industri hiburan?,” katanya.
Pengacara berpengelaman ini mempersoalkan apa sumbangan besar Neelofa yang boleh dibanggakan.
“Setakat jadi pengacara program MeleTop, apalah sangat. Ini saya buat Juara Lagu, hasilkan drama Lontong dan buat macam-macam karya, sekejap saja kena tangkap dan didakwa di mahkamah.
“Neelofa boleh pula terlepas. Jangan bagi rakyat bertambah marah. Malaysia sekarang diambang kehancuran, kenapa biarkan perkara ini berlaku?,” katanya.
Azwan mendakwa tindakan penguatkuasaan yang lemah membuatkan dia memberontak dalam perkara ini.
“Saya adalah orang pertama yang nak dia dipenjarakan. Saya tak perlukan sokongan ramai dalam perkara ini. Ia adalah pendirian saya sebagai rakyat marhain.
“Saya rakyat yang ada hak di sisi perlembagaan persekutuan. Dah ada undang-undang berkenaan akta penyakit berjangkit, kenapa tak dilaksana atau dikuatkuasakan?
“Menteri sendiri yang kata tiada pilih kasih atau kompromi terhadap mereka yang langgar peraturan. Neelofa juga dah banyak kali buat hal sekali gus dia ego dan keras kepala,” katanya.
Terbaharu, Neelofa dan ahli keluarganya ini menimbulkan suasana bengang di kalangan warganet yang rata-rata sanggup berkorban tidak mengunjungi ibubapa dan sanak saudara serta menziarah kubur bagi mengekang dan memutuskan rantaian Covid-19.
Artikel berkaitan
Sambut raya bersama, Neelofa dan ahli keluarga 2 jam beri keterangan kepada polis
SUSULAN dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidilfitri lalu, pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa dan ahli keluarga hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur pada petang Selasa.
Kesemua mereka tiba menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna putih pada kira-kira pukul 2.50 petang dan beredar kira-kira pukul 5.40 petang.
Selain Neelofa, turut kelihatan ialah bapa tiri Neelofa, Datuk Abdul Halim Khan Lall Khan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar dalam satu kenyataan berkata, seramai 10 orang ahli keluarga termasuk selebriti terbabit dan suaminya hadir dalam proses merakam keterangan petang Selasa.
“Mereka semua memberi kerjasama dengan baik kepada polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” ujarnya.
“Video ini dikongsi netizen melalui laman sosial Twitter. Kes masih dalam tindakan penyiasatan polis.”
ANUAR OMAR
KETUA POLIS DAERAH BRICKFIELDS
Terdahulu, Anuar dilaporkan berkata, polis menjalankan siasatan susulan satu laporan polis dibuat kira-kira 10.25 malam Isnin selepas tular video keluarga itu merakamkan sambutan Aidilfitri di kediaman mereka di Pinggiran Zaaba, Taman Tun Dr Ismail.
Video yang tular di media sosial.
Selain Neelofa, turut kelihatan dalam video berkenaan adalah Nabila dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin serta anaknya, Engku Aleesya, ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed dan suaminya.
Sebelum ini, Neelofa, 32, dan ahli keluarganya dikompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,000 atas alasan kegagalan mematuhi SOP penganjuran majlis sosial serta melanggar kebenaran rentas negeri.
Bukan itu sahaja, Neelofa dan Haris juga sedang disiasat berhubung dakwaan melanggar SOP Covid-19 dengan merentas negeri untuk membeli karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan.
Sumber : HMetro
Leave a Reply