
Kisah ini berlaku pada cuti semester ketika pulang ke Terengganu. Pada waktu itu, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) belum wujud lagi. Maka, jalan lama adalah menjadi lebuhraya setia untuk orang Terengganu pulang ke kampung.
Aku dan Pijoe sepakat nak balik sekali, lagipun Pijoe memandu sorang-sorang tak ada teman. Awal-awalnya aku bercadang nak balik pada siang hari, tetapi Pijoe lebih suka memandu pada waktu malam.
Pijoe tanya aku, “Mat, nak lalu Jabor ke Cherating?” Lalu aku beritahu Pijoe yang aku pilih Cherating lagipun laluan di situ banyak kereta, kalau ada apa-apa hal yang berlaku maka senang sikit nak mintak tolong. Muka Pijoe pula menampakkan ekspresi seperti mahu melalui jalan Jabor.
Aku tahu, kalau lalu ikut Jabor akan cepat sampai. Tapi jalan itu kiri dan kanannya dipenuhi kelapa sawit. Tak ada kereta yang lalu.
Masa memasuki Karak, aku dah mula berborak rancak dengan Pijoe, aku tak mahu dia mengantuk dengan fikiran puaka di Karak. Kami pasang lagu kuat-kuat.
Sedang kami berborak, aku sempat tengok kiri dan kanan cermin takut-takut ada benda menumpang. Jam dah 11.30 malam. Sunyi bukan kepalang jalan lama tu.
Sebenarnya masa tahun sebelum itu aku dah pernah kena sekali di kawasan sini. Tapi aku tak pernah cerita kepada Pijoe walaupun aku tahu bahawa dia ni hati kering.
Alhamdullillah sepanjang perjalanan di Karak tu kami tak menghadapi benda-benda bangang yang boleh membuatkan kami terberak dalam seluar.
Cuma sesekali rasa macam seriau. Kami pun berhenti di Temerloh dekat jambatan Sungai Pahang untuk segarkan mata dan basuh muka.
Kemudian kami teruskan perjalanan. Cuma kali ni aku tertidur. Selepas itu aku terjaga masa nak masuk mukim Dungun. Itu pun Pijoe yang kejutkan sebab dia sangap. Aku cucuh rokok bukak tingkap, masa inilah Pijoe menjerit.
“TUTUP TINGKAP MATTTT!!!!! ALLAHUAKBARRR ALLAHUAKBAR!!!” Aku punyalah terkejut, tak sempat nak buat apa-apa.
Aku pandang sebelah, tingkap aku tutup cepat-cepat. Tapi, apa yang aku nampak? Ya, selaju kereta kancil Pijoe tu, benda tu tengah ikut tepi tingkap sebelah aku.
Aku pejamkan mata. Dalam mata terpejam, aku pesan pada Pijoe supaya jangan ikutkan hati, kawal diri. “Kita boleh terbunuh ni Pijoe kalau kita ikutkan takut.” Kataku dan Pijoe diam.
Sebelah tingkap aku cuma bunyi suara “dia” , “kheeehhhhhhhh…kheeeehhhhhhhh…”. Sumpah, aku tak pandang langsung ke kiri.
Cuma masa dalam keadaan kelam kabut tu aku tahu benda tu adalah perempuan dan berwarna lebam. Aku tak tahu macam mana nak ceritakan rupa bentuk dia tu tapi sangat mengerikan dan buat seluruh tubuh aku merinding.
Aku nampak Pijoe masih bernafas dengan kuat. Aku tahu dia ketakutkan tapi aku puji keberanian dia dapat mengawal keadaan. Kalau tidak, ke gaunglah kami jawabnya.
Sepanjang perjalanan dari tempat kejadian tu atau nama tempat tu Bukit Bauk, kami diam bungkam, tak cakap apa-apa. Aku nampak Pijoe berada dalam kebingungan.
Ketika masuk bandar Dungun, barulah kami cari kedai, berhenti minum dan bercerita pasal tadi. Pijoe beritahu sebenarnya dia dah rasa lain macam sejak awalnya. Kata Pijoe, sejak dari Karak lagi dia dah merasakanya.
Cuma benda tu tak betul-betul tunjukkan diri seperti masa sampai di Bukit Bauk. Bukit Bauk ini keras. Aku tanya Pijoe “Masa kau jerit, apa yang kau tengah pikir?” Pijoe diam lama, dia pandang aku, dia tunduk.
Pijoe pandang aku, “Mat, masa kau bukak tingkap “benda” tu dah meluru ke arah kau, tangan dia dah ke arah kau, tu pasal aku jerit..” Aku sapu muka berkali-kali. Huuh!
Kes ini sebijik macam mak angkat aku kena di Nyalas, Melaka. Benda tu sempat sapa muka mak angkat aku. Mengucap panjang waktu tu. Aku dengan Pijoe rehat sampai subuh.
Lepas Subuh, kami sambung perjalanan ke Kuala Terengganu. Bukit Bauk, kau dah banyak makan orang.
Baca Lagi Cerita Berkaitan Bukit Bauk klik link di bawah
Gadis Misteri Tumpang Kereta Di Bukit Bauk
Restoran misteri di Bukit Bauk, Dungun
‘Benda’ Itu Tiba2 Muncul
Misteri Rumah Banglo Di Bukit Bauk, Dungun
Sumber : 1001kisahbenar.blogspot.com
Apa Pendapat Anda?
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Leave a Reply