
Assalamualaikum dan selamat sejahtera, sepertimana yang saya janjikan. Kisah misteri Bukit Bauk. Kisah ni bukan seram, tapi sedikit menyayat hati.
Kisah yang berlaku pada awal 1990an. Kisah tentang jalan Bukit Bauk yang kelam dan suram kala malam menjelma menghadirkan pelbagai perasaan seram. Ada yang pernah mengatakan Bukit Bauk ni ada perkampungan Bunian. Antara iya atau tak itu masih tak dapat dipastikan.
Azmi (bukan nama sebenar) yang berkelana di kota Kuala Lumpur pulang ke kampungnya di Pasir Mas Kelantan dengan memandu kereta secara sendirian.
Tiada apa yang mengganggu Azmi walau dia sendirian memandu, sehinggalah dia melalui jalan Bukit Bauk. Dia sudah banyak mendengar cerita-cerita seram dari kawan-kawannya tentang Bukit Bauk.
Sedikit sebanyak dia merasa takut juga hendak melalui jalan yang bersimpang siur itu. Hendak tak hendak dia terpaksa lalu juga, sebab sudah tiada jalan alternatif lain untuk ke Kelantan pada waktu itu.
Tika kereta dia mendaki Bukit Bauk, Azmi sengaja menguatkan volume radio keretanya. Masakan tidak, masuk saja dalam laluan Bukit Bauk itu, pelbagai bunyi aneh singgah ke pendengarannya. Sudahlah keretanya tak ada penghawa dingin. Terpaksa bukak tingkap untuk menghirup udara.
Diceritakan oleh rakan baik, Azmi mendengar bunyi unggas dan adakala ngauman harimau sayup-sayup di puncak bukit. Lampu jalan di Bukit Bauk pula jaraknya jauh antara satu sama lain. Dan waktu kereta Azmi melalui jalan itu pula hampir menjengah pukul 1 pagi. Sunyi dan boleh dikatakan tiada sebarang kereta pun yang melalui jalan itu.
Dugaan saat di puncak Bukit Bauk ditempuhi dengan tabah. Suasana seram berakhir apabila menuruni bukit itu. Sebelum melepasi kaki bukit, Azmi terpaksa membelok sedikit kerana jalan di kaki bukit itu sedikit tajam selekohnya. Ketika ini Azmi diduga.
Seusai melepasi selekoh terakhir, Azmi terlihat seorang wanita berdiri di tubir jalan. Cahaya lampu keretanya disuluh ke arah wanita itu. Pakaiannya comot dan seperti terkena lumpur. Azmi pada waktu itu sudah mula berfikir yang bukan-bukan. Sudahlah perjalanan untuk ke Kelantan masih lagi jauh.
Tika menghampiri wanita itu, Azmi melihat wanita itu melambai seperti ingin menumpangi kereta Azmi.Anehnya Azmi tak berasa takut malah dia berhenti di sebelah wanita itu. Azmi melihat wajah wanita itu muram tetapi cantik. Dikatakan wanita itu hendak ke Pasir Putih. Alang-alang sehala perjalanan, Azmi dengan rela hati memberi tumpang pada wanita tu.
Wanita tersebut masuk dan duduk di bahagian sebelah pemandu. Dia diam saja tanpa mahu bersuara. Bukit Bauk sudah jauh tertinggal di belakang. Azmi kini berteman. Diajaknya wanita itu berborak-borak. Tetapi hanya senyuman terukir di bibir. Menurut wanita yang bernama Fatin itu (bukan nama sebenar) dia tertinggal teksi. Baju dan beg pakaiannya tak tahu kat mana. Apa yang dia sedar, dia sudah berada di kaki Bukit Bauk.
Apabila ditanya kenapa baju compang camping dan comot. Terutama di bahagian pinggang ke bawah. Dia hanya menggeleng menjawab tidak tahu. Azmi tak mensyaki apa-apa sebab aroma badan wanita itu tetap wangi walau penampilannya sedikit kotor pada baju kurung yang dipakainya.
Azmi banyak mendengar kisah hantu menumpang kereta orang. Setiap kali dia memandu rasa seram tetap menerjah dalam hati. Otak dia sering berfikir yang bukan-bukan. Kerana melihat anehnya wanita itu, Azmi sengaja memasang kaset Yassin di dalam keretanya. Dan dia sengaja menaikkan volume radio keretanya dengan harapan Fatin akan menjerit kepanasan.
Aneh… Fatin kelihatan tenang tanpa ada riak resah di wajah mulusnya sehinggalah surah yassin habis dibacakan. Azmi mula menyalahkan dirinya yang tak habis-habis berfikiran negatif. Fatin membalas lirikan Azmi dengan snyuman di bibirnya. Fatin cantik orangnya, hati lelaki mana tak bergetar memandang lesung pipit di pipi wanita muda itu.
Fatin terus diam sehinggalah kereta Azmi tiba di Kuala Terengganu. Waktu semakin menjengah ke pukul 4 pagi. Waktu itu Azmi melihat ada sebuah kedai makan yang dibuka awal. Kebiasaannya di bandar kuala Terengganu memang banyak kedai makan yang dibuka awal pagi.
Azmi mempelawa Fatin untuk turun berehat dan makan, tetapi Fatin menolak dengan baik. Akhirnya Azmi sendirian menjamah nasi dagang di restoran yang dipenuhi dengan driver lori dan bas itu. Kedai makan itu biasanya menjadi persinggahan driver-driver lori untuk bersarapan di awal pagi sebelum bergerak ke destinasi yang lain.
Usai mengisi perut, Azmi melihat jam sudah hampir ke pukul 5 pagi. Dia kembali memandu. Fatin kelihatan masih seperti tadi. Diam dan hanya sesekali tersenyum apabila Azmi cuba bercerita itu dan ini.
Dalam tak sedar Azmi sudah pun tiba di Pasir Putih. Pemanduan yang lancar itu menyebabkan Azmi tiba awal ke bumi Kelantan. Setiba ke alamat yang Fatin berikan, Azmi berhenti di sebuah rumah yang besar.
Fatin sempat mengucapkan terima kasih kerana bawa dia pulang. Azmi hanya tersenyum apabila Fatin mempelawa dia datang ke rumahnya tengahari esok. Katanya keluarganya ada membuat sedikit kenduri. Dan disebabkan itulah Fatin mahu pulang ke kampung. Ayat terakhir Fatin adalah satu ucapan terima kasih kerana menghantarnya pulang.
Azmi sebenarnya sudah tertawan dengan kecantikan Fati dan dia berhasrat akan datang kembali demi mahu berjumpa keluarga wanita muda itu. Fatin terus mendaki naik ke dalam rumah. Pintu rumah dibuka luas oleh seseorang dari dalam. Azmi hanya menghantar Fatin dengan pandangan saja. Hatinya lega lepas dia berjaya mnghantar Fatin pulang. Kini giliran dia pula ke destinasinya.
Esoknya, Azmi menepati janjinya untuk datang ke rumah Fatin. Memang benar seperti apa yang dikatakan Fatin. Rumahnya dipenuhi orang ramai. Azmi turut serta di dalam kelompok kenduri itu walaupun kehadirannya sedikit terlewat.
Orang dah mula bersantap pada waktu itu. Azmi sempat jugak mengintai-intai ke dalam rumah mencari Fatin. Hanya kelibat orang-orang tua sahaja yang ada. Akhirnya Azmi menunggu sehingga ke petang. Dan apabila reda Azmi terus menyapa lelaki yang dirasakan bapa kepada Fatin.
Tercengang lelaki tua itu apabila Azmi bertanyakan tentang anaknya Fatin. Ditanya kembali kepada Azmi, “Dah lama ke kenal dgn anak pakcik?”
Azmi pun berceritalah yang dia ada menghantar pulang Fatin awal subuh tadi. Riak wajah lelaki tua itu berubah lagi apabila Azmi menyatakn hasrat untuk meminang anak gadisnya itu. Hati Azmi benar-benar sudah tertawan.
Lelaki tua itu mengajak Azmi bersolat Maghrib berjemaah bersama-sama. Azmi gembira kerana yakin akan berjumpa kembali dengan Fatin.
Sesudah solat berjemaah… Azmi pun rancak bercerita tentang bagaimana dia ketemui Fatin. Cerita Azmi itu membuatkan ibu Fatin menangis teresak-esak dan terpaksa diredakan oleh adik perempuan Fatin. Azmi hairan, sebab dari petang hingga ke malam wajah ayu Fatin tak kelihatan.
Kerana tak sabar Azmi bertanya lagi, “Mana Fatin, pakcik? Dari tadi tak nampak dia.”
Ayah Fatin menghela nafas panjang sebelum dia menjawab. “Sebenarnya kenduri ini kenduri utk Fatin.”
Azmi tercengang. Perasaannya bercampur baur dan sedikit terkilan andai ini adalah kenduri kahwin Fatin. Andai kenduri nikah Fatin, tapi di mana pengantinnya?
Pakcik itu menyambung cerita yang sekerat tadi. “Kenduri ini kenduri untuk arwah Fatin.”
Terasa amat terkejutnya Azmi mendengar cerita pakcik itu. Dia berkali-kali menyatakan yang dia ada bercakap dengan Fatin. Kerana desakan Azmi ayah Fatin pun bercerita perkara yang sebenarnya.
Fatin meninggal dunia lebih seminggu yang lalu. Menurut ayah Fatin, anaknya itu kemalangan jalan raya ketika dia dalam perjalanan pulang ke kampung. Teksi yang ditumpanginya itu berlanggar dengan lori balak sebaik sahaja turun dari Bukit Bauk.
Mayat Fatin tersepit dengan kayu balak dan bomba terpaksa memotong bahagian pinggang Fatin demi mahu mengeluarkan mayatnya.
Azmi tak tahu hendak berkata apa. Tanpa sedar dia menangis di hadapan keluarga Fatin. Senyuman Fatin terus terbayang-bayang di matanya. Dan esok pagi Azmi dan keluarga Fatin sama-sama melawat kubur Fatin. Di situ Azmi menangis semahu-mahunya.
Wallahu a’lam
AL -FATIHAH
Baca Lagi Cerita Berkaitan Bukit Bauk klik link di bawah
Restoran misteri di Bukit Bauk, Dungun
‘Benda’ Itu Tiba2 Muncul
Misteri Rumah Banglo Di Bukit Bauk, Dungun
Sumber : Dari Alam Angker
Apa Pendapat Anda?
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Leave a Reply