Kena ‘Sound’ Depan Rumah Sebab Degil Dan Ingkar Arahan Kuarantin Diri Selepas Positif Covid

Tindakan seorang lelaki positif Covid-19 dan kakaknya yang juga kontrak rapat ingkar arahan kuarantin diri di rumah di Kampung Melayu, Padang Besar, di sini, membawa padah apabila dikompaun RM8,000 oleh polis.

Malah, tindakan lelaki itu memotong gelang kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata untuk keluar rumah bertemu rakan ternyata memburukkan keadaan apabila Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesan terdapat individu positif berpunca daripada tindakan mereka.

Video Berada Di Bawah Artikel

Tindakan mementingkan diri dua beradik itu akhirnya sampai ke pengetahuan Penghulu Dewan Undangan Negeri (Dun) Titi Tinggi, Beseri, Mata Ayer dan Chuping, Reswan Ramli yang bertindak memarahi mereka serta mengarahkannya duduk di rumah selepas laporan polis dibuat.

Dalam video berdurasi 26 saat itu, Reswan dilihat berada di luar rumah dua beradik itu sambil memakai pelitup muka serta memarahi mereka yang mendedahkan diri kepada jangkitan ke atas orang lain di sekitar kawasan Pekan Padang Besar khususnya di Kampung Melayu, Padang Besar.

Reswan berkata, tindakannya itu semata-mata memberi pengajaran kepada dua beradik itu untuk tidak mengambil mudah dalam soal kesihatan dan keselamatan diri apabila mereka disahkan positif Covid-19.

“Saya menerima banyak aduan dan rungutan orang ramai di Padang Besar apabila melihat mereka sewenang-wenangnya keluar dan mengingkari arahan kuarantin diri di rumah untuk bertemu orang ramai.

“Malah, salah seorang daripada mereka sanggup memotong gelang kuarantin KKM dan difahamkan tindakan mereka bertemu rakan menyebabkan ada individu mempunyai kontak dengan mereka turut positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan dan pendekatan secara berlembut dilihat tidak dapat memberikan kesan kepada dua beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Saifudin Aslin Abbas berkata, dua beradik terbabit iaitu lelaki berusia 21 tahun positif Covid-19 manakala kakaknya berusia 24 tahun adalah kontak rapat dan diarahkan menjalani kuarantin di rumah dari 23 Ogos hingga 5 September hadapan.

“Dua beradik ini tinggal bersama keluarga mereka seramai empat orang di sebuah rumah di Kampung Melayu, Padang Besar.

“Tindakan mereka yang ingkar arahan untuk kuarantin di rumah ini jelas menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat.

“Jadi, kami mengeluarkan kompaun kepada lelaki itu sebanyak RM6,500 kerana memotong gelang kuarantin KKM, dengan sengaja keluar premis kuarantin, gagal mematuhi SOP serta membawa masuk rakan ke dalam premis kuarantin,” katanya.

Saifuddin berkata, polis turut mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada wanita yang juga kakak lelaki berkenaan kerana sengaja keluar dari premis kuarantin dan tidak mematuhi SOP.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 16 P.U(a) 293/2021 Akta 342 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021.

VIDEO:

 

Sumber: HM online

Apa Pendapat Anda?

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda atau pemilik akaun sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*