Dakwaan Najib RM2.6 Bilion Derma Dari Arab Adalah Melebihi Hikayat 1001 Malam – Panel tiga hakim Mahkamah

Kuala Lumpur: Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mendapati pembelaan Datuk Seri Najib Razak berhubung sumbangan derma negara Arab, melebihi kisah Hikayat 1001 Malam.

Panel yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, mendapati dakwaan itu bukan sahaja tidak mempunyai kredibiliti dan bercanggah, malah turut disanggah oleh bukti dokumen.

Panel itu dalam penghakiman penuhnya berkata, ia bersetuju dengan dapatan hakim mahkamah tinggi bahawa pembelaan derma negara arab itu hanyalah ‘kisah’ yang langsung tidak mempunyai kredibiliti.

“Tiada bukti sama sekali bahawa RM42 juta itu datangnya, atau mungkin daripada Raja Arab Saudi, dan tiada sebarang asas munasabah untuk perayu membentuk kepercayaan itu. Dana itu datang daripada SRC International Sdn Bhd dan ia sudah dibuktikan.

“Dalam hal ini, adalah wajar untuk diambil perhatian bahawa walaupun selepas dua kenyataan akhbar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat sumber dana yang dikatakan dari Arab Saudi dan bagi memastikan sama ada RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun perayu adalah derma.

“Pegawai SPRM pergi ke Arab Saudi untuk menyiasat perkara itu tetapi gagal mendapat sebarang pengesahan daripada penderma Arab yang dikatakan sebagai bukti yang boleh diterima di mahkamah,” katanya.

Panel itu berkata, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam keterangan di Mahkamah Tinggi, menyatakan ketika memegang jawatan peguam negara, beliau membebaskan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan SRC berdasarkan kesimpulan siasatan bahawa perayu didapati tidak mengetahui sebarang kesalahan yang dilakukan.

Katanya, Mohamed Apandi seterusnya memberi keterangan bahawa pada Januari 2016, beliau mengarahkan SPRM menutup siasatan terhadap Najib kerana berpuas hati bahawa tiada bukti perayu menyalahgunakan kedudukannya untuk meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Dipebadankan).

Kata panel itu lagi, bagaimanapun ketika disoal balas, Mohamed Apandi bersetuju keputusannya berdasarkan bahan dalam kertas siasatan setakat 26 Januari 2016 dan bersetuju beliau tidak mengetahui selepas itu bahawa terdapat 76 kenyataan baharu dan beberapa kenyataan lagi direkodkan daripada saksi berkaitan siasatan.

Menurut panel, hakim perbicaraan menimbangkan keterangan Mohamed Apandi dan menyimpulkan ia tidak menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan kerana terdapat siasatan lanjut selepas Januari 2016.

“Kesimpulan dan arahan Mohamed Apandi pada Januari 2016 adalah berdasarkan siasatan yang dijalankan sehingga itu dan mahkamah mengesahkan dua carta aliran yang dipegangnya ketika sidang akhbar pada 26 Januari 2016 untuk membebaskan perayu adalah carta aliran sama yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Carta aliran itu jelas menunjukkan dana SRC memasuki akaun bank perayu, dan ia bukan derma Arab seperti yang dipertikaikan…dalam apa jua keadaan pendapat dan keputusan Peguam Negara tidak mengikat penggantinya,” katanya.

Panel berkata, Peguam Negara semasa bebas untuk membuat keputusan dan menggunakan kuasa perlembagaan dan perundangan mengikut undang-undang dengan menggunakan budi bicara untuk mendakwa walaupun Peguam Negara sebelum itu memilih untuk tidak berbuat demikian.

Isu Derma RM2.6 bilion: Ini jawapan Dari Arab Saudi

MENTERI Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiada kena-mengena dengan kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra di Putrajaya, hari ini.

Dalam pertemuan yang turut menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta derma RM2.6 bilion, Saifuddin berkata : “Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena-mengena dengan kerajaan Arab Saudi.”

Menurutnya, ketika mereka bertemu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lalu, Adel memberitahunya bahawa kerajaan Arab Saudi akan bekerjasama dalam siasatan 1MDB dan tiada kaitan dengan derma RM2.6 bilion.

“Hari ini ulangi sekali lagi bahawa itu tiada kaitan dengan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas turut hadir pada kunjungan hormat Adel terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra di Putrajaya.

Pada 2016, ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul, Turki, Adel dilaporkan berkata sumbangan derma kepada Najib datang dari Arab Saudi.

“Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia sudah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.

“Justeru, setahu kami, isu itu ditutup,” kata Adel seperti dilaporkan pada 2016.

Pada Januari 2016, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan sudah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib. .

Dalam pada itu, Saifuddin berkata dalam pertemuan mereka itu, beliau turut menyampaikan keputusan Kabinet bahawa Malaysia tidak akan menganggotai gabungan tentera pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman.

“Pada masa ini, semua askar kita sudah balik dan kita sudah tidak terbabit,” katanya.

Sumber : HM

Apa Pendapat Anda?

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda atau pemilik akaun sendiri.

Klik sini Untuk Claim Free Shipping Shopee https://shp.ee/d5pvxcf

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*