
ALOR SETAR – Polis Kedah mengesan satu video tular di media sosial berkaitan dakwaan beberapa buah bas yang membawa pengundi hantu bagi pilihan raya negeri (PRN) di daerah Kuala Muda pada Sabtu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menegaskan, dakwaan tersebut tidak benar kerana bas itu disewa oleh polis dari Kuala Lumpur dan Kedah untuk membawa petugas polis di sekitar daerah berkenaan.
Menurutnya, sebanyak 34 bas telah itu disewa untuk membawa petugas polis yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan kelancaran sepanjang PRN berlangsung di negeri ini.
“Semua bas ini adalah disewakan oleh pihak polis untuk menjadi pengangkutan kepada petugas yang saya kata pagi tadi, kita ada lebih 7,000 petugas yang mana sebahagian besar adalah pasukan-pasukan besar yang datang dari kontinjen luar seluruh negeri (membantu PRN Kedah),” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang Sabtu.
Fisol berkata, polis memohon individu yang telah merakamkan video tersebut untuk membuat laporan dengan menyertakan nombor bas yang turut didedahkan beliau pada sidang akhbar berkenaan.
“Saya ingin mengingatkan di sini, tuan-puan bertanggungjawab telah mengeluarkan satu isu yang telah menjadi satu kegusaran, orang ramai tengok ada pengundi hantu di Kedah,” ujar beliau.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Fisol berkata, polis telah membuka kertas siasatan berkaitan penggunaan nama dan kad pengenalan yang telah digunakan sebelum proses membuang undi pada PRN.
Menurutnya, dua laporan berkenaan diterima di daerah Kulim, manakala satu lagi laporan di daerah Kuala Muda.
Sumber : Sinar Harian
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply